Kembali Mencari Nur Hidayah 2
January 01, 2016Alhamdulillah. Hari ini aku kembali di laman sepi. Mencoretkan tulisan hati yang diam membisu berbulan-bulan lamanya. Hari ini, aku ingin berkongsi lagi. Berkongsi tentang hati yang sedang mencari semula kasih sayang Allah.
Teruskan pembacaan.
Bulan pertama:
Hari ini, beliau cuba bangun. Cuba positif kan minda dengan apa yang terjadi. Senyuman tak lekang dari bibirnya.
Semester baru, bulan baru, senyuman baru yang kelihatan sedikit tawar, mata yang yang redup dan penuh dengan kisahnya, dan hati. Hati yang sedang sakit teruk dan cuba dirawat sebaiknya.
Kerja-kerja yang diberikan diuruskan sebaiknya. Sedang bergelumang dengan kertas kerja. Tangan ralit membuka satu persatu file di laptop. Terkeluar gambar mereka berdua dulu. Terdiam. Tangan menyentuh skrin laptop, tepat pada wajah si dia. Hati sebu. Sakit. Seperti dicucuk-cucuk dan dihancur lumatkan. Automatik tangan menggenggam dada diri.
"Ya Allah. Sakitnya. Kuatkan aku!,"
Selesai. Dihantar ke setiausaha untuk diperiksa. Alhamdulillah semuanya diterima dengan baik.
Masa untuk berbuka puasa. Semua kelihatan tenang dan bahagia. Beliau tersenyum. Tenang. Tak ada yang tahu kisah dia saat ini kecuali dia dan Allah.
Masa terus berlalu. Beliau yakin beliau sudah cukup kuat untuk semua ini. In Shaa Allah.
Sahabat-sahabat sebilik mula balik ke kolej. Sahabat sejati. Melihat wajah beliau, sayu, sedih. Dipeluk erat. Menangis dalam dakapan dia. Tak mampu berkata, hanya air mata yang mengungkapkan segala-galanya. Allahuakbar.
"Kuat ye," - bisik sahabat.
Mengangguk.
Bulan kedua:
Bulan kedua, tiada lagi air mata. Alhamdulillah. Jika nak dibandingkan bulan pertama, setiap hari akan mengalirkan air mata. Setiap kali nama syabab agama itu disebut, hatinya lemah, membisu dan mengalir air mata. Setiap hari. Allahuakbar.
Kali ini beliau makin kuat. Menyimpan sakit dan duka di hati.
Hinggakan suatu hari, Allah menguji dirinya lagi.
Beliau sakit. Dalam satu majlis, beliau kurang sihat dan sedikit tertekan dengan majlis yang dijalankan. Duduk di bangku yang jauh dari insan lain, dan cuba untuk bertenang.
Pernafasannya berubah menjadi laju.
Tangannya kebas. Kakinya tak terasa. Kebas semakin naik ke leher
"Tolong saya! Saya tak boleh bergerak,"
Pintanya dengan jeritan yang cukup didengari. Semua menghampiri dan membantu.
"Adik. Nama apa?,"
Cuba untuk menyebut. Tapi tak mampu..
Allah. Apa semua ni? Kenapa aku tak boleh sebut nama aku ni? Kenapa dengan aku? Bisiknya.
Tangan tidak boleh digerakkan. Kaki kejung seperti orang strok. Allah. Ujian apakah ini?
"Sayang, dengar ni. Ikut saya mengucap,"
pujuk seorang pensyarah di situ. Sahabat-sahabat lain termangu. Mengucap? Tiada kata yang mampu dikatakan. Mata tak nampak apa-apa. Hanya mendengar suara-suara sekeliling yang sedikit kalut.
Sedar.
Beliau ada di klinik kesihatan. Drip digantung dan disalurkan pada badan. Cuba bergerak. Tak boleh!
"Kak. Kenapa saya tak boleh bergerak?,"
Soalnya. Menangis.
"Sabar.. rehat dulu," - balasnya.
Jam 4 petang. Selamat sampai di kolej. Alhamdulillah. Semuanya okay. Cuma beliau tak boleh berjalan sangat.
Rehat.
Sahabat-sahabat sebilik pulang dari kelas. Menangis melihat beliau dalam tidurnya. Tenang.
Esoknya, sahabat di situ mahu bawa ke rawatan Islam. Perlahan-lahan kaki ini melangkah ke surau dibantu seorang kakak yang mulia hatinya. Ada sedikit jamuan dan beliau dihidangkan dengan sedikit makanan.
Sedang siap untuk makan, azan Asar berkumandang. Tangan menggigil. Badan kebas semula. Allahuakbar. Apa yang terjadi? Semua kelam-kambut memberikan bantuan.
Seorang sahabat yang mempunyai ilmu perubatan Islam cuba membantu. Ayat terakhir yang beliau dengar ialah "kamu siapa?,"
Dan lepas tu beliau tidak sedar. Sedang hakikatnya, beliau sedang berlawan dengan sahabat yang cuba membantu. Beliau diganggu makhluk halus. Begitu sekali.
Sahabat-sahabat yang rapat kini mengerti hati beliau. Nampak kuat dan gagah, tapi hatinya tidak kuat sehingga diganggu begini. Allahuakbar. Makin ramai yang menangis melihat sahabat yang tidak pernah sakit ini, tiba-tiba diuji sakit yang teruk.
Mulai hari tu. Beliau sering diganggu. Diganggu dan diganggu. Sahabat yang dahulunya ramai, kini tiada. Yang ada itulah yang setia hingga ke hari ini. Susah senang bersama.
Beliau pernah dikejarkan ke hospital jam 1pagi dan masuk Yellow Zone! separa kritikal.
Pernah sekali, keesokannya beliau akan menduduki peperiksaan. Tetapi akibat gangguan, beliau tidak dapat menelaah sebaiknya dan redha dengan apa sahaja yang terjadi. Itu adalah gangguan yang paling teruk sekali. Meracau-racau dan 7-8 orang sahabat terpaksa memegang dia seorang. Kuatnya tenaga beliau waktu itu. Allahuakbar.
Pada awal gangguan, beliau tak dapat berjalan hampir 12 hari. Pernah sekali, cuba menggagahkan diri ke pejabat untuk uruskan urusan cuti yang diberikan keatasnya. Jalan perlahan, beliau sendiri menangis melihat diri sendiri.
Pulang ke bilik, badan sakit dan tak mampu bergerak. Allah.
Sayunya hati.
0 comments